Southampton FC menghidupkan peluang kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas menyingkirkan Middlesbrough FC 2-1 menerusi masa tambahan pada aksi separuh akhir playoff Liga Kejuaraan awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik di Stadium St Mary’s itu memastikan Southampton mara ke final playoff untuk bertemu Hull City di Wembley pada 23 Mei nanti.
Perlawanan penentuan tersebut sering dianggap antara aksi paling bernilai dalam bola sepak England memandangkan pasukan yang menang akan memperoleh tempat ke saingan EPL musim depan.
Selepas aksi pertama berakhir tanpa jaringan, kedua-dua pasukan sekali lagi terikat 1-1 selepas tamat 90 minit sebelum permainan diheret ke masa tambahan.
Middlesbrough terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan awal Riley McGree pada minit kelima.
Southampton bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama hasil tandukan Ross Stewart selepas penjaga gol lawan, Sol Brynn menepis percubaan Ryan Manning.
Ketika perlawanan dilihat bakal ditentukan menerusi penentuan penalti, Shea Charles muncul wira Southampton apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-116.
Percubaan kaki kirinya terkena tiang terlebih dahulu sebelum bola melantun masuk untuk memastikan tuan rumah melangkah ke final playoff.
Selain aksi sengit di atas padang, perlawanan itu turut dicemari ketegangan melibatkan pegawai kedua-dua pasukan di kawasan teknikal sebelum keadaan berjaya dikawal.
Menurut laporan Sky Sports, pertahanan Middlesbrough, Luke Ayling turut membuat aduan kepada pengadil Andy Madley berhubung dakwaan penggunaan bahasa diskriminasi oleh pemain Southampton, Taylor Harwood-Bellis.
Hubungan antara kedua-dua kelab sebelum ini juga dilaporkan tegang selepas Middlesbrough menuduh Southampton mengintip sesi latihan mereka menjelang aksi pertama minggu lalu.
Southampton menamatkan musim Liga Kejuaraan di tangga keempat selepas tersingkir dari EPL musim lalu, manakala Middlesbrough pula berada di kedudukan kelima liga.
Sumber Gambar: FB Southampton FC