PASUKAN Johor Darul Ta’zim tetap optimis mampu melakar kebangkitan apabila bertandang ke Thailand untuk aksi separuh akhir kedua ACC Shopee Cup menentang Buriram United.

Skuad kendalian Xisco Munoz itu membawa misi sukar selepas tewas 1-3 pada aksi pertama minggu lalu di Stadium Sultan Ibrahim.

Pada perlawanan tersebut, penyerang Buriram United, Guilherme Bissoli muncul watak utama kemenangan pasukan Thailand itu apabila meledak dua gol sekali gus dipilih sebagai Shopee Star of the Match.

Walaupun berdepan defisit dua gol, Munoz menegaskan JDT masih percaya dengan kemampuan sendiri untuk bangkit pada aksi timbal balik nanti.

“Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan terus bekerja keras serta memberikan yang terbaik.

“Kami berjuang untuk kelab, semangat dan misi kami. Kami perlu pergi ke sana dan melakukan dengan lebih baik,” katanya.

JDT bagaimanapun hadir ke Thailand dengan suntikan moral positif selepas mencipta rekod menyamai pencapaian dunia menerusi 108 perlawanan liga tanpa kalah selepas membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 dalam aksi Liga Super, Ahad lalu.

Penyerang utama Harimau Selatan, Bergson da Silva yang terlepas aksi pertama akibat kecederaan dijangka kembali memperkuat pasukan selepas meledak enam gol dalam kemenangan besar tersebut.

Sementara itu, ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson percaya kelebihan bermain di laman sendiri mampu membantu pasukannya mempertahankan agregat untuk mara ke final.

“Kami sentiasa yakin terutama apabila bermain di tempat sendiri.

“Kami mempunyai sokongan penyokong di belakang kami dan JDT perlu berdepan suasana itu,” katanya.

Menurut Jackson, keyakinan tinggi dalam kalangan pemain menjadi antara kekuatan utama Buriram sepanjang kempen kejohanan kali ini.

Buriram United juga memiliki rekod baik di laman sendiri apabila masih belum tewas dalam lapan aksi Shopee Cup di hadapan penyokong sendiri.

Pemenang aksi separuh akhir itu bakal mara ke final Shopee Cup yang akan berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 27 Mei depan.