Foto: MSN JOHOR

MASIH panas dengan lakaran sejarah muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) kali pertama sejak tahun 1986, Johor lantang melaungkan sasaran di temasya 2024.

Ketua Kontinjen Datuk Mohd Najib Samuri tidak segan lagi bersuara, menetapkan sasaran 70 pingat emas pada 2024, dalam usaha memastikan kontinjen Johor mengekalkan status juara keseluruhan.

Mohd Najib yang ditemui memuji seluruh 526 atletnya yang merealisasikan impian Johor untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat julung kalinya dalam tempoh 36 tahun.

Tegas Mohd Najib, antara kunci kejayaan kontinjen Johor kali adalah kerjasama yang ditunjukkan semua pihak baik kerajaan negeri, persatuan sukan, atlet, jurulatih dan pegawai dalam persiapan bagi menghadapi temasya tersebut.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini selepas kontinjen negeri Johor dinobatkan juara keseluruhan buat julung kalinya pada Sukma edisi ke-20. Lebih manis, kejayaan ini pertama buat Johor semenjak temasya sukan ini dianjurkan pada 1986.

“77 pingat emas keseluruhan adalah rekod tertinggi yang pernah dicapai negeri Johor semenjak kita lakukan pada Sukma 2010 (Melaka) dengan 40 emas. Alhamdulilah kita berjaya merealisasikan impian kami hari ini (semalam).

“Justeru, untuk mempertahankan gelaran ini dua tahun akan datang iaitu Sukma 2024, saya mungkin minta Majlis Sukan Negeri Johor sasarkan 70 pingat emas. Sebenarnya kita sudah buat analisa kerana untuk 40 pingat emas sahaja mampu berada kelompok lima terbaik dan 50 emas berada di tangga tiga terbaik. 70 emas adalah juara.

“Alhamdulilah hari ini (semalam) kita dapat tambah tujuh lagi pingat emas. Ini satu bonus buat kontinjen Johor. Kemenangan ini sekali gus dapat menggembirakan seluruh rakyat negeri Johor khususnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, negeri itu mempunyai fasiliti sukan yang lengkap, justeru, tidak mustahil Johor akan menjadi kuasa besar sukan di tanah air secara keseluruhan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Sukma 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.

Dalam pada itu, Johor bukan sahaja pulang dengan satu kejayaan sebaliknnya menyapu kategori atlet lelaki dan wanita terbaik. Atlet kanu berusia 21 tahun, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize dinobatkan atlet lelaki terbaik Sukma 2022 selepas mengodol sembilan pingat emas keseluruhan.

Johor turut mampu tersenyum lebar apabila gelaran atlet wanita terbaik menjadi milik mereka menerusi perenang muda, Tan Rouxin meraih enam emas, satu perak dan satu gangsa pada penampilan sulungnya di SUKMA.