JUSTIN Hoh akan mengetuai cabaran negara di Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Santander, Sepanyol, bulan depan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, mengumumkan senarai 17 pemain yang akan menggalas cabaran negara bermula 17 hingga 30 Oktober depan.
“Berdasarkan penilaian yang dibuat pada ujian (perlawanan) percubaan yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di Bukit Kiara dari 12 hingga 15 September, kita memilih 17 pemain untuk mengikuti kem latihan kebangsaan untuk dibawa ke Sepanyol,” kata BAM menerusi kenyataan media.
Justin, 18, akan mengetuai pemain lain seperti Eogene Ewe Eon, Arifin Nazri, Bryan Jeremy Goonting, Choi Jian Sheng, Fazriq Razif, Wong Vin Sean, Aaron Tai dan Low Han Chen.
Turut tersenarai Siti Nurshuhaini Azman, Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi, Vannee Gobi, Chong Jie Yu, Lai Ting Cen, Carmen Ting dan Lee Xin Jie.
Sebelum ini BAM mengumumkan sasaran untuk sekurang-kurangnya memenangi satu pingat emas, selepas kali terakhir memperolehnya pada 2017 menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei.
Sementara dalam acara berpasukan campuran, kali terakhir Malaysia memenanginya pada edisi 2011.