PENINJU kacukan Malaysia-Amerika, Johan Ghazali tewas kepada Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dalam Kejohanan WMF Muay Thai di ONE 167 yang berlangsung di IMPACT Arena Muangthong Thani pada Sabtu.

Johan, atau lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, memasuki gelanggang dengan semangat juang yang tinggi. Pada satu ketika, dia berjaya melakukan serangan padu yang menyebabkan pelindung gigi juara WMF Muay Thai lima kali itu tertanggal pada pusingan pertama.

Memasuki pusingan kedua, perlawanan antara kedua-dua peninju kelihatan seimbang dengan tendangan Duy Nhat mengenai Johan hampir menyebabkan dia terjatuh.

Namun, Jojo terus mencuba untuk memberi tekanan walaupun kelihatan kesakitan.

Pada awal pusingan ketiga, tumbukan Johan mengenai Duy Nhat sehingga lawannya terjatuh, namun peninju negara yang berusia 18 tahun itu terus ‘menguji’ lawannya sebelum perlawanan dihentikan oleh pengadil, Olivier Coste untuk masa kecederaan.

Johan terus meminta perlawanan diteruskan dalam 55 saat terakhir yang menyaksikan Duy Nhat terus memberi tekanan sebelum loceng dibunyikan, dan pertarungan itu dimenangi oleh wakil Vietnam berdasarkan keputusan kiraan mata.

Ini merupakan kekalahan pertama Johan selepas enam perlawanan sejak Februari tahun lepas, sekali gus terlepas peluang untuk memenangi bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,332.68).

Ini juga adalah kali pertama Johan Ghazali tewas kepada Nguyen Tran Duy Nhat dalam perlawanan ONE.