JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang merampas semula pingat emas acara pecut individu elit lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, apabila memenangi dua perlumbaan final pecut, di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Atlet kelahiran Terengganu itu, kali terakhir memenangi emas acara terbabit pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, kembali menjejakkan kaki di podium sebagai juara selepas mengatasi pelumba Jepun, Kaiya Ota 2-0.

Datuk Azizulhasni Awang, mengotakan janjinya untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu pingat emas di ACC2023.

“Saya gunakan strategi berbeza, perlumbaan pertama saya laksanakan dengan cemerlang, terpaksa tukar strategi di perlumbaan kedua kerana tidak mahu Ota membaca apa yang saya rancang, jadi pada perlumbaan kedua, lebih banyak tenaga digunakan, kerana saya perlu lakukan pecutan berkali-kali,” kata Azizul, yang mencatat 9.924s pada perlumbaan pertama dan 9.828s, pada perlumbaan kedua.

Terdahulu, Azizulhasni yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman, menyingkir seorang lagi pelumba handalan Jepun, Kento Yamasaki di separuh akhir, juga dengan keputusan 2-0.

Azizulhasni cukup beremosi ketika bertemu ketua jurulatih, John Beasley, selepas memenangi pingat emas ke-11 peribadi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Veledrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Ujarnya, pelumba Jepun bukan calang-calang pencabar dan berkelas dunia, dan kemenangan ini memberi keyakinan untuk beraksi di Kejohanan Dunia, Glasgow, Ogos depan.

“Dapat menewaskan Ota di sini memberi saya keyakinan untuk memburu kejuaraan di Kejohanan Dunia nanti, kerana Ota sebelum ini bersaing sengit dengan Harrie Lavreysen (Belanda) di Piala Negara-Negara UCI, yang berlangsung di Jakarta.

“Macam tak percaya finally saya berjaya juga lakar sejarah pingat emas ke-11 di ACC. Sejak di Hong Kong lagi saya berazam nak menang satu lagi pingat ACC, mengukuhkan legasi yang saya cipta.”

Levreysen, kini menjadi pelumba pecut paling dicemburui kerana pemenang dua pingat emas Olimpik Tokyo itu belum pernah ditewaskan mana-mana pelumba lagi setakat ini, terutamanya dalam acara pecut.

Azizulhasni boleh dianggap berada di puncak prestasi di kejohanan ini, selepas mencatatkan masa 9.523 saat (s) untuk menduduki tangga pertama peringkat kelayakan yang juga satu catatan rekod baharu kebangsaan.

Catatan itu mengatasi rekod kebangsaan 9.548s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman.

Datuk Azizulhasni Awang diangkat dua pelumba Jepun, Kaiya Ota dan Kento Yamasaki.

Azizulhasni juga dilihat berada di landasan terbaik menjelang Kejohanan Dunia dan Sukan Asia, apabila catatan pusingan kelayakan itu menghampiri rekod Asia yang dipegang pelumba sensasi Jepun, Yuta Wakimoto, 9.518s yang diciptanya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ironinya, kemenangan dalam acara pecut individu itu, membolehkannya merekodkan kemenangan 11 pingat emas di pentas ACC setakat ini.

Azizulhasni berpeluang menambah kilauan pingat emas apabila turun bertanding dalam acara kegemarannya, keirin yang bermula pada Ahad.