SKUAD perseorangan lelaki negara sedia menggunakan pelbagai formula untuk memastikan kemajuan prestasi, termasuk mengadakan sesi latihan bersama dengan pemain profesional.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, menegaskan beliau juga sedia menerima semula pemain profesional ke asalkan mereka komited sepenuhnya dalam latihan.

“Komitmen dan disiplin menentukan kejayaan, kerana bakat hanya membuka pintu, tetapi usaha harian yang membezakan tahap seorang pemain,” katanya ketika ditemui di BAM, ketika diminta mengulas mengenai situasi genting perseorangan lelaki negara, ketika ini.

Aidil Sholeh mempamerkan prestasi baok sejak bergelar pemain profesional.

Mengulas kemungkinan memanggil pemain profesional seperti Aidil Sholeh atau lain-lain, Jonassen tidak menafikan pintu BAM sentiasa terbuka, malah kerjasama latihan juga boleh dijalankan jika mereka tidak dapat menyertai sepenuh masa.

Beliau menegaskan objektif utamanya ialah mengangkat semula reputasi perseorangan lelaki Malaysia, dan atas dasar itu semua pemain BAM atau profesional, wajar mencari jalan untuk saling membantu meningkatkan standard latihan.

Jonassen juga mengakui jumlah pemain yang akan dibawa masuk ke ABM (termasuk pemain muda dari ‘talent id’ yang dilakukan selama 2 minggu) bukan keutamaan kerana kualiti dan kesungguhan lebih penting berbanding angka yang memenuhi kuota semata-mata.