TERENGGANU FC tampil menjernihkan kekeliruan berhubung isu sekatan perpindahan yang hangat diperkatakan apabila menjelaskan bahawa kelab sebenarnya telah menyelesaikan bayaran tunggakan kepada bekas pemain import lebih awal, sebelum FIFA mengeluarkan keputusan rasmi.

Penjelasan ini sekali gus memberi gambaran jelas bahawa TFC bukan sahaja mematuhi prosedur perundangan antarabangsa, malah bertindak lebih awal bagi memastikan kelab tidak berdepan implikasi yang lebih besar.

Menurut Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), pembayaran itu dibuat sebagai langkah proaktif demi menyelesaikan isu berkenaan dengan cepat dan teratur, selaras komitmen kelab untuk beroperasi secara profesional serta memelihara reputasi institusi.

Malah, sejurus bayaran diselesaikan, pihak kelab terus menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi memaklumkan perkembangan tersebut secara telus.

Pada masa ini, TFCSB memaklumkan bahawa mereka masih menunggu maklum balas rasmi daripada badan induk dunia itu. Walaupun begitu, TFC menegaskan mereka bersedia mematuhi apa jua ketetapan yang akan dikeluarkan FIFA, selaras peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Pendekatan terbuka ini sekali gus menunjukkan kesungguhan Terengganu untuk memastikan setiap urusan kelab diselesaikan mengikut garis panduan sah, sambil menutup ruang salah faham yang mungkin timbul dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.

TFCSB turut memberi jaminan bahawa perkembangan terkini akan dikongsikan sebaik sahaja keputusan rasmi diterima daripada FIFA. Kelab berharap penjelasan ini dapat memperjelas keadaan dan meredakan kegusaran penyokong yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan hitam putih pasukan kesayangan mereka itu.