PENYERANG Harimau Malaya, Paulo Josue menjangkakan pertembungan sukar menentang Cape Verde esok malam bukan sahaja dari segi prestasi lawan, tetapi juga kerana sebahagian besar pemain negara masih dalam fasa pra-musim dan belum mencapai tahap kecergasan terbaik.

Bercakap dalam sidang media pra-perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Josue mengakui mereka perlu realistik dengan cabaran yang bakal dihadapi menentang pasukan ranking ke-72 dunia itu, namun tetap menganggap ia satu peluang penting untuk menilai tahap semasa skuad kebangsaan.

“Kami baru saja kembali dari cuti dan hanya berlatih sejak seminggu lalu. Jadi secara fizikal kami belum berada di tahap terbaik. Tapi inilah realiti dan cabaran yang perlu kami tempuhi,” katanya.

“Cape Verde sebuah pasukan yang hampir layak ke Piala Dunia, jadi inilah ujian sebenar untuk kita lihat di mana tahap kita dari segi fizikal, mental dan taktikal.”

Dalam masa sama, Josue turut berkongsi tentang perubahan besar dalam kariernya apabila ditugaskan bermain lebih ke hadapan sebagai penyerang utama sejak musim lalu sesuatu yang tidak pernah dijangkanya.

“Saya tak pernah sangka akan bermain sebagai penyerang. Kalau ada perubahan, saya fikir saya akan undur ke posisi lebih bertahan. Tapi jurulatih letakkan saya sebagai nombor 9 (penyerang), dan walaupun kurang sentuhan bola, saya banyak menjaringkan gol.”

Menurut pemain naturalisasi itu, meskipun tugasan baharu memerlukan penyesuaian, beliau tidak kisah untuk menyahut cabaran selagi ia memberi kebaikan kepada pasukan.

“Apa sahaja yang diminta jurulatih, saya akan cuba buat sebaik mungkin. Setakat ini semuanya berjalan lancar.”

Malaysia akan menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1 pada Rabu malam, sebahagian daripada persediaan penting menjelang pusingan kelayakan Piala Asia menentang Vientam pada 10 Jun.