KETUA pasukan skuad B-23 negara, Ubaidullah Shamsul menegaskan pertembungan menentang tuan rumah Thailand dalam separuh akhir Bolasepak Lelaki Sukan SEA 2025 dianggap sebagai aksi ‘final sebenar’ buat Harimau Muda, dengan seluruh pasukan tampil penuh semangat dan keazaman untuk melangkah ke perlawanan penentuan.
Menjelang aksi yang dijadual berlangsung jam 9 malam ini waktu Malaysia, Ubaidullah mengakui suasana dalam kem pasukan berada pada tahap terbaik, dengan pemain cukup teruja menghadapi cabaran besar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.
“Esok adalah permainan yang sangat penting bagi kami sebagai sebuah pasukan. Saya rasa semua orang dalam pasukan sangat teruja untuk memainkan permainan separuh akhir ini. Bagi kami, ini adalah permainan yang benar-benar seperti final kerana menentang tuan rumah,” katanya ketika sidang media semalam.
Mengulas kekalahan terdahulu kepada Vietnam, Ubaidullah melihat ia sebagai pengajaran paling berharga buat dirinya dan rakan sepasukan, khususnya dalam aspek ketenangan dan keyakinan.
“Kesilapan yang berlaku dalam pertandingan terhadap Vietnam adalah satu pelajaran untuk saya dan pasukan. Sebagai seorang pemain, kita perlu membuktikan pada permainan seterusnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan skuad negara akan tampil lebih bersatu dan berdisiplin ketika menentang Thailand, selain bertekad tidak mengulangi kesilapan sama.
“Pada permainan seterusnya, kami akan bermain dengan unit dan lebih yakin, terutamanya menentang Thailand. Kami akan berusaha untuk belajar daripada kesilapan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ubaidullah menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan dan doa buat Harimau Muda sepanjang kejohanan ini.
“Sebagai seorang pemain dan sebuah pasukan, kami akan berusaha sebaik mungkin. Terima kasih kepada semua penonton yang telah berdoa untuk kami. Semoga kita dapat ke final,” katanya.
Malaysia bakal berdepan ujian paling mencabar setakat ini apabila menentang Thailand di laman sendiri, namun dengan semangat baharu dan tekad menebus kekecewaan lalu, Harimau Muda turun dengan satu misi jelas melangkah ke final dan menghidupkan impian emas Sukan SEA.
kali terakhir pasukan Malaysia merangkul ibu segala pingat itu pada Sukan SEA 2011 ketika menewaskan tuan rumah indonesia dalam penentuan sepakan penalti.
TAMAT