PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim tetap mempertahankan barisan pemainnya biarpun tewas 0-1 kepada ASEAN All Stars dalam aksi pramusim yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Menurut Amorim, kekalahan itu bukan alasan untuk terus meragui kemampuan skuad kendaliannya, sebaliknya menegaskan bahawa proses membina keyakinan semula, selepas musim yang mencabar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) memerlukan masa dan ketenangan.
“Kadangkala semuanya berubah, kita ambil cuti, kembali semula dan bermula dari hari pertama untuk musim baru. Suasana di padang latihan juga boleh bantu pemain bina keyakinan berbeza. Itu yang kami harapkan sekarang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan Piala Cabaran Maybank.

Aksi longlai Red Devils nyata mengundang ejekan penyokong yang tidak berpuas hati dengan prestasi dipamerkan, namun Amorim melihat insiden itu sebagai satu bentuk isyarat yang boleh membakar semangat pemain.
“Boo daripada penyokong mungkin sesuatu yang kami perlukan juga. Dalam setiap kekalahan musim lalu di EPL, mereka (peminat) tetap bersama kami. Tapi mereka juga tahu bila sesuatu tak berfungsi, mereka akan ubah reaksi mereka. Itu biasa dalam bola sepak,” katanya lagi.
Amorim turut mengakui pasukannya masih kurang dari segi penyudah dan sedang giat memperbaiki kelemahan itu menjelang sepak mula EPL tidak lama lagi. “Jika lihat data dari beberapa perlawanan terakhir, kami memang ada peningkatan. Tapi kami kekurangan jaringan, itu hakikatnya. Kami sedang menilai dan menyesuaikan diri.”

Namun, ada perkara yang membimbangkan pengendali dari Portugal itu ialah mentaliti pasukan yang menurutnya belum cukup kuat untuk menang dalam setiap perlawanan, sama ada di stadium mahupun dalam latihan di padang.
“Kami kena tanamkan mentaliti mahu menang dalam setiap permainan, setiap latihan. Saya tahu pendekatan saya tidak jauh berbeza dari jurulatih lain, punya visi, kekal dengannya, dan sesuaikan bila perlu. Saya tetap percaya dengan prinsip saya. Hasil belum cukup baik, tapi saya yakin dengan proses ini,” katanya.