KEKALAHAN memalukan 0-1 Manchester United kepada ASEAN All Stars malam tadi bukan sekadar mencalarkan reputasi, tetapi kini dikhuatiri menjejaskan sambutan penyokong untuk aksi seterusnya menentang Hong Kong, malam esok.
Kegagalan skuad kendalian Ruben Amorim menampilkan aksi meyakinkan dalam aksi pramusim itu nyata mengundang kekecewaan penyokong, malah terdapat petanda awal penjualan tiket bagi perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil kurang memberangsangkan.
“Kalau menang 5-0 pun orang akan kata, ‘ini cuma perlawanan pramusim’. Tapi bila kalah, rasa itu lain. Ia sakit. Kita kena jadi lebih baik,” kata Amorim yang dilihat tenang namun tegas dalam sidang media selepas perlawanan.

Amorim dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pengendali dari Portugal itu menegaskan bahawa kepercayaan penyokong perlu dibalas dengan prestasi di atas padang. Bagi Amorim, sokongan bukan sekadar hadir ke stadium, tetapi ia mewakili satu bentuk kepercayaan yang perlu dihargai.
“Saya juga pernah jadi penyokong tegar Benfica waktu kecil. Zaman 90-an, memang susah. Tapi saya tetap beli tiket dengan ayah saya. Itu hadiah hari jadi saya setiap tahun. Jadi saya faham betapa besarnya nilai sokongan ini,” katanya.
Namun, Amorim tidak menyembunyikan kegusaran terhadap dua perkara utama, mentaliti pemain yang masih longgar serta kebimbangan terhadap kecederaan menjelang aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris.

ASEAN All Stars menewaskan 0-1 Manchester United malam tadi.
“Sekarang ini kami belum ada rasa lapar untuk menang setiap perlawanan. Itu masalah besar. Dan saya risau kalau ada pemain cedera sekarang, musim belum bermula lagi, ia akan beri kesan besar pada permulaan musim,” katanya.
Justeru, walaupun aksi menentang Hong Kong dilihat sebagai peluang menebus maruah, tanda tanya besar kini ialah sama ada penyokong akan kembali memenuhi stadium atau terus hilang kepercayaan. “Kita tunggu musim depan,” kata Amorim, ringkas, tetapi penuh makna.