JUARA Sukan SEA, Pearly Tan-M Thinaah membakar semangat juang tinggi, apabila berjaya mematahkan badi China dengan kemenangan straight set ke atas Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Jelajah Dunia Akhir BWFdi Hangzhou,China.
Turun selaku pilihan pertama, Pearly-Thinaah tampil tenang dan berdisiplin untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-11 dalam tempoh 46 minit, sekali gus kemenangan kedua daripada tujuh pertemuan sepanjang tahun ini.
Thinaah mengakui persiapan rapi dan komunikasi berkesan menjadi kunci kejayaan apabila berkata, “Kami sangat gembira dengan kemenangan ini kerana fokus kami adalah bermain tanpa penyesalan, saling menyokong dan kekal berkomunikasi walaupun keadaan tidak memihak.”

Chen Tang Jie mengakui Toh Ee Wei berjaya mengatasi Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Pearly pula mengakui, pelan taktikal baharu diterapkan termasuk kesabaran tinggi dalam rali panjang sambil berkata, “Kami cuba sesuatu yang berbeza hari ini, termasuk kekal dalam rali panjang, dan ia menjadi, jadi kami harap momentum ini dapat diteruskan.”
Kemenangan itu menyuntik keyakinan Pearly-Thinaah menjelang pertemuan menentang wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi, yang rekod pertemuan jelas memihak kepada beregu nombor dua dunia itu.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Goh Soon Huat-Shevon Lai 21-13, 21-13 dalam aksi Kumpulan B.
Tang Jie menegaskan status juara dunia tidak mengganggu fokus mereka apabila berkata, “Apa yang kami capai sebelum ini adalah perkara lepas dan sekarang kami hanya fokus kepada apa yang perlu dilakukan setiap hari.”
Ee Wei menambah keyakinan itu diterjemahkan di gelanggang apabila berkata, “Kami hanya mahu kekal konsisten dengan rutin harian dan jika menang sekali lagi esok, laluan ke separuh akhir hampir pasti milik kami.”