PEMAIN skuasy wanita negara, Rachel Arnold melonjak 11 anak tangga dalam ranking Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas menjuarai Terbuka China, Ahad lalu.
Kemenangan terbesar dalam kerjaya profesionalnya itu membolehkan Rachel meraih 1,350 mata, sekali gus melonjak ke kedudukan ke-11 dunia, iaitu ranking tertinggi pernah dicapainya setakat ini.
Selepas menewaskan pilihan utama kejohanan, Rowan Elraby dari Mesir pada aksi suku akhir, Rachel meneruskan rentak cemerlang dengan mengatasi bintang muda negara, Aira Azman di separuh akhir.
Kemajuan prestasi Rachel diteruskan pada final apabila menang straight set ke atas pilihan ketiga dari Mesir, Farida Mohamed menerusi kemenangan 11-5, 11-8, 11-8.
“Saya bermain dengan penuh yakin pada aksi final. Pada perlawanan itu, saya hanya anggap ia seperti perlawanan biasa dan tidak sebesar aksi final. Rasa seperti tidak percaya, namun saya sangat gembira.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang sentiasa menaruh sepenuh kepercayaan dan memberi sokongan kepada saya,” kata Rachel yang kekal menjadi pemain kedua terbaik negara.
Kejohanan berstatus Silver Jelajah Dunia PSA itu turut menyaksikan pemain negara, Ainaa Amani Ampandi terkandas di pusingan kedua, selepas tunduk kepada pemain utama negara, S Sivasangari yang tersingkir di separuh akhir akhir selepas tewas kepada Farida.
Rentetan kemaraan ke separuh akhir, Sangari kekal di ranking kesembilan dunia, Aira melonjak empat anak tangga kepada 32 dunia manakala Ainaa, 47 dunia.