PENGANJURAN acara bukan sukan menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan sewaan venue di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sehingga Oktober 2024.

Kutipan sewa RM10.647 juta diperoleh KLSC itu membabitkan sewaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Axiata Arena dan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil (SHNBJ).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Dewan Rakyat semalam, berkata, menerusi penganjuran acara sukan, KLSC berjaya mengutip sewaan RM2.147 juta membabitkan 26 penganjuran sukan, manakala sebanyak 54 penganjuran acara bukan sukan direkodkan melibatkan kutipan hasil sewaan sebanyak RM8.5 juta.

Selain perlawanan bola sepak dan kejohanan olahraga, Stadium Nasional Bukit Jalil juga sibuk ditempah bagi penganjuran acara selain sukan.

“Hasil kutipan bagi acara sukan di venue seperti Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang memiliki kapasiti 85,000 penonton, terdapat tujuh perlawanan diadakan dan meraih RM1.97 juta, bagi Axiata Arena (13,000 kapasiti), terdapat empat acara dijalankan dengan kutipan RM875,000 manakala Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil (SHNBJ) (15,000-20,000 kapasiti)  meraih RM75,000 dengan 15 acara dilangsungkan di venue itu.

“Untuk acara bukan sukan pula, SNBJ mencatatkan keuntungan RM1.8 juta, (tujuh acara), Axiata Arena pula RM6.4 juta (42 acara) dan SHNBJ pula lebih RM210,000 (5 acara),” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen kota Melaka, Khoo Poay Tiong Di Dewan Rakyat.

Tambah Hannah, bagi menampung permintaan serta menepati keperluan penganjur konsert selepas mendapat permintaan tinggi, beberapa inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada diberikan tumpuan.

Axiata Arena menjadi venue paling banyak ditempah membabitkan pelbagai konsert tempatan dan antarabangsa.

“Mempelbagaikan fungsi penggunaan SHNBJ kerana sebelum ini stadium ini hanya tertumpu bagi pertandingan dan latihan sukan hoki sahaja, namun kini salah satu venue yang boleh dipilih bagi penganjuran konsert.

“Untuk tahun 2025, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil telah menerima sebanyak 26 tempahan untuk penganjuran konsert. Ini dapat meningkatkan jumlah konsert diadakan.

“Tapak semaian dengan cara PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) sedang menyediakan dua tapak semaian seluas lapan ekar untuk digunakan sebagai rumput gantian yang mampu ditukar. Ianya menggunakan konsep lay and play apabila perlu.

“Contohnya, selepas konsert dan terdapat pula perlawanan bola sepak dalam tempoh terdekat. Konsep lay and play ini dapat mengoptimumkan penggunaan SNBJ dan pada masa yang sama memberi masa untuk padang pulih melalui sistem penggiliran padang.

Tempahan acara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi tahun 2025 sudah mencecah 26 tempahan.

“Seterusnya, kerjasama bersama pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) tidak hanya tertumpu kepada kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan, PSM juga mengambil inisiatif untuk bekerjasama secara rasmi dengan pihak MYCC bagi menggalakkan ketelusan dalam setiap bidang yang selama ini dikuasai oleh elemen kartel.

“Kerjasama ini mampu mengelakkan pembaziran dan mempunyai lebih banyak hasil lima agensi yang boleh digunakan untuk menambah baik fasiliti tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan,”katanya.

Dalam pada itu, Hannah juga memaklumkan sudah menyalurkan geran RM500 ribu kepada negeri-negeri yang mahu menerima bagi tujuan menukar rumput dan memperbaiki saliran. Walau bagaimanapun sehingga kini hanya negeri Kelantan yang memulakan kerja selepas menerima geran berkenaan.

Manakala negeri-negeri lain belum memulakan kerja-kerja menaik taraf rumput dan saliran.