Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Keberangkatan baginda pada majlis tersebut disifatkan sebagai satu penghargaan besar kepada pembangunan sukan negeri serta pengiktirafan terhadap pencapaian atlet dan penggiat sukan Pahang.

Baginda tiba sekitar jam 3 petang dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, sebelum disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Majlis Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Dalam majlis berkenaan, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada penyumbang serta anugerah kepada atlet yang cemerlang.

Acara kemuncak menyaksikan penyampaian Anugerah Sukan Pahang melibatkan empat kategori utama iaitu Anugerah Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Olahragawan dan Olahragawati.

Seramai 20 atlet telah dicalonkan bagi merebut pengiktirafan dalam kategori tersebut, mencerminkan prestasi serta potensi besar sukan negeri di peringkat lebih tinggi.

Majlis itu turut menjadi platform penting dalam menghargai sumbangan atlet serta memperkukuh semangat pembangunan sukan di Pahang.