PENGENDALI Belanda Louis van Gaal telah memulakan perang psikologi terhadap Argentina menjelang aksi suku akhir kedua-dua pasukan di Piala Dunia FIFA Qatar 2022 pada Jumaat.

Van Gaal dalam satu temubual telah melancarkan perang saraf itu apabila menamakan kapten Argentina, Lionel Messi sebagai pemain bola sepak paling berbahaya di dunia.

Menurut bekas pengendali Manchester United itu, Messi adalah seorang pemain yang mencipta peluang terbanyak dalam satu-satu perlawanan dan juga bijak untuk mencipta peluang buat dirinya juga.

Lionel Messi

“Messi semestinya adalah pemain paling berbahaya yang banyak mencipta peluang bukan sahaja buat teman sepasukan malah buat dirinya sendiri dan kami akan berhati-hati apabila berhadapan dengannya.

“Namun dia juga tidak begitu membantu pasukannya ketika lawan memegang bola dan disinilah peluang terletak buat pasukan kami,” katanya ketika ditemubual sebuah stesen televisyen.

Argentina membuktikan mereka mampu dikalahkan apabila tewas kepada Arab Saudi pada perlawanan pembukaan yang menyaksikan Messi dan rakan-rakan terperangkap dalam taktikal serangan pantas.

Belanda pula layak ke suku akhir dengan rekod tanpa kalah dan sudah pasti mahu menghukum barisan bintang Argentina untuk menempah tempat ke separuh akhir sekaligus menghampiri aksi final.