FOTO : PSSI

BEKAS jurulatih Persipura Jayapura dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah optimis pasukan kebangsaan Indonesia di bawah kendalian Indra Sjafri mampu merangkul kejuaraan di Sukan SEA Kemboja 2023.

Jurulatih kelahiran Ampang, Selangor yang kini mengendalikan kelab Liga Perdana Bola Sepak Bangladesh bersama Muktijoddha Sangsad KC percaya pasukan kebangsaan B-22 Indonesia mempunyai modal yang baik untuk bergelar juara selepas menewaskan Vietnam pada peringkat separuh akhir.

“Insya-Allah peluang perlawanan akhir tetap terbuka semuanya kembali fokus kepada game plan ketua jurulatih Indra Sjafri,” kata Raja Isa ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Isnin.

Raja Isa berkata, perkara utama adalah mengikut motivasi dan arahan ketua jurulatih Indra Sjafri dan jika pemain Indonesia dalam kondisi kompak menentang Thailand, maka peluang untuk menang adalah besar.

“Saya pernah berada di Indonesia dan tahu betapa dahaganya penyokong di sana. Pastinya saya mendoakan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan B-22 untuk membawa pulang emas untuk bola sepak Indonesia,” tambahnya.

Jelasnya, ketika ini bola sepak Indonesia memerlukan pencapaian memandangkan sudah 32 tahun pasukan kebangsaan kemarau untuk merebut gelaran dalam acara Sukan Sea.

“Bola sepak Indonesia perlukan penjenamaan. Sama-sama kita berdoa untuk mereka mencipta sejarah baru. Sudah lebih 20 tahun mereka gagal meraih emas. Semoga Allah permudahkan final ini untuk meraih pingat emas,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan kebangsaan Indonesia memenangi pingat emas di Sukan SEA ialah pada tahun 1991 semasa berlangsung di Filipina.

Indonesia akan menentang Thailand dalam saingan akhir Sukan SEA 2023 di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Selasa.