PEMAIN tengah kebangsaan, Mohamed Syamer Kutty Abba mengakui dirinya lama menantikan peluang beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar.

Selepas kerap tersisih gara-gara dihimpit krisis kecederaan, Syamer antara 26 pemain skuad Harimau Malaya dipanggil Kim Pan-gon menjalani sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Saya tunggu peluang ini sangat lama dan kita semua tahu, tahun ini adalah tahun yang agak sukar akibat kecederaan.

“Saya berterima kasih kepada semua staf kejurulatihan beri peluang untuk untuk dapat panggilan akhir negara dan saya akan beri yang terbaik di setiap latihan untuk saya membuktikan bahawa saya patut berada dalam skuad kali ini.

“Kita pergi bukan untuk sekadar menyertai, tapi untuk melakarkan sejarah. Saya harap dapat mengharumkan nama negara kita dalam biarpun siapa lawan kita dan akan beri yang terbaik untuk menang setiap perlawanan dan melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya ditemui pemberita pada sesi latihan hari ketiga pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Tambah pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun itu yang baru melangsungkan pernikahan minggu lepas sokongan padu daripada isteri menguatkan lagi keazamannya sajikan penampilan terpuji di Doha, Qatar.

“Bagi saya perkahwinan itu bukan masalah untuk saya untuk menyahut panggilan negara. Saya lebih gembira untuk berada di sini berbanding saya berbulan madu dengan isteri.

“Kami dah bincang pasal perkara ini (wakili negara) dan dia tahu keutamaan saya adalah bola sepak dulu,” kata arkitek skuad Johor Darul Ta’zim itu.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan Kumpulan E di Doha menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.