PEMBEDAHAN kedua yang dijalankan dua hari lalu telah memberi impak lebih positif buat pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Abdul Halim sejurus membolehkan dirinya memasuki fasa pemulihan baharu yang dipanggil rekonstruktif.

Faisal yang kini sedang mendapatkan rawatan terbaik di sebuah hospital swasta di Shah Alam menunjukkan progres yang lebih bagus daripada hari sebelumnya dan pihak pakar bedah sendiri gembira akan perkembangan kesihatan terkini yang ditunjukkannya.

Oleh itu, Faisal kini sudah memasuki fasa rekonstruktif dimana protokol dan undang-undang akan menjadi lebih ketat dan lebih dikawal oleh pihak hospital.

Perkata ini dikongsi sendiri oleh Ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair yang menegaskan bahawa sesi lawatan juga akan dihadkan untuk mengurangkan lagi sebarang risiko komplikasi jangkitan daripada terjadi.

Ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair

“Jadi, buat sementara waktu ini, kita pun tidak akan mendengar banyak sangat perkembangan beliau. Siri pembedahan yang dah dirancang juga akan diikut seperti mana yang sudah dijadualkan.

“Pembedahan seterusnya yang dimaklumkan juga akan dibuat pada minggu ini. Jadi untuk ke arah teknikal itu agak sukar kerana Faisal dah memasuki fasa rekonstruktif ini.

Skin allograft juga dijangka tiba pada minggu ini dan ia semua sudah terkandung sama dalam fasa rekonstruktif,” ujarnya ketika ditemu bual di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Terdahulu, Faisal difahamkan sudah berada dalam keadaan stabil setelah selesai menjalani sesi pembedahan kedua yang berlangsung pada Selasa lalu.

Progres yang baik telah ditunjukkan dan semua pihak terutama keluarga bola sepak Malaysia mengharapkan agar Faisal kembali pulih dan sembuh sepenuhnya daripada kecederaan asid yang terkena pada dirinya.