BINTANG Al-Hilal, Neymar, menzahirkan penghormatan penuh emosi terhadap jurulatih pertamanya, Betinho Talentos, yang meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Neymar, 32, meluahkan kesedihannya melalui sebuah hantaran di media sosial, mengenang jasa individu yang menemukan bakatnya dalam dunia bola sepak.
Betinho, yang pernah bertugas di Santos, dikenali sebagai orang pertama yang menemui potensi Neymar ketika pemain itu baru berusia 12 tahun.
Dialah yang membawa Neymar ke Vila Belmiro pada tahun 2004, di mana Neymar memulakan perjalanan kariernya dalam sistem pembangunan pemain muda kelab itu sebelum melakukan debut seniornya pada 2009.
Neymar kemudiannya menjadi salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Brazil.
Melalui Instagram, bekas bintang Barcelona itu berkongsi gambar dirinya ketika zaman kanak-kanak bersama Betinho dengan meluahkan ayat penuh emosi.
“Anda melihat saya berlari di tempat duduk penonton dan membuat saya berlari di banyak stadium di seluruh dunia.
“Anda membawa saya ke bola sepak, membuat ibu bapa saya membawa saya ke percubaan pertama saya.
“Saya akan sentiasa berterima kasih atas semua itu! Berehatlah dengan tenang, Profesor BETINHO,” luah Neymar.
Punca kematian Betinho tidak didedahkan, namun pemergiannya jelas memberi kesan mendalam kepada Neymar, yang tidak lupa jasa besar jurulatihnya itu dalam membentuk kerjayanya.
Tambahan lagi, Neymar kini sedang berehat akibat kecederaan serius yang dialaminya pada Oktober lalu, tidak lama selepas kembali daripada kecederaan ligamen yang panjang.
Walaupun peminat berharap untuk melihat Neymar kembali ke padang, pemain itu kini memberi tumpuan kepada pemulihan serta mengenang individu yang menjadi pencetus kepada kejayaannya.