PENYERANG West Ham United, Michail Antonio, kini berada di hospital dalam keadaan stabil selepas terlibat dalam kemalangan kereta di Essex, menurut kenyataan kelab.

Dalam satu kenyataan, West Ham United menyatakan Michail Antonio berada dalam keadaan stabil selepas kemalangan jalan raya yang berlaku petang Sabtu di kawasan Essex.

“Michail dalam keadaan sedar dan boleh berkomunikasi, serta sedang dipantau rapi di sebuah hospital di pusat bandar London.

“Pada waktu yang sukar ini, kami memohon agar semua pihak menghormati privasi Michail dan keluarganya.

“Kelab tidak akan memberikan sebarang komen lanjut malam ini, namun akan mengeluarkan kenyataan tambahan pada masa yang sesuai.

“Fikiran dan doa semua pihak di kelab bersama Michail, keluarganya, dan rakan-rakannya pada waktu ini,” menurut kenyataan kelab.

Gambar sebuah kereta Ferrari yang mengalami kerosakan teruk, yang dipercayai milik Antonio, telah tular di media sosial.

Ini bukan kali pertama pemain itu terlibat dalam kemalangan. Sebelum ini, Antonio pernah melanggar sebuah kereta super lain ke dinding di Balham, selatan London, pada tahun 2021.

Antonio, 34, menyertai West Ham dari Nottingham Forest pada tahun 2015. Sejak itu, beliau telah menjaringkan 68 gol dalam 268 penampilan liga untuk kelab tersebut.

Kelab dari timur London itu dijadualkan menentang Wolverhampton Wanderers pada Isnin.