STRATEGI perlawanan yang digunakan Weng Hong Yang, berjaya memerangkap perseorangan negara, Leong Jun Hao ketika menyaksikan wakil tunggal perseorangan lelaki negara itu, kandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka India.

Biarpun memiliki rekod pertemuan seimbang 1-1,Jun Hao bagai dipukau dan gagal mengawal permainan mengikut kehendaknya.

“Saya rasa tidak selesa dengan ‘game plan’ dia… kawan di depan gelanggangnya betul-betul mengganggu momentum saya,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas tamat perlawanan.

Leong Jun Hao melakukan kejutan dengan menyingkir pilihan kelima dari China, Li Shi Feng pada pusingan pertama, namun kandas di pusingan kedua.

Pada perlawanan itu, Hong Yang berjaya mengawal setiap pukulan dengan baik.

Malah, Jun Hao seperti tidak mampu meneka arah pukulan yang cuba dibalas Hong Yang yang juga pemain kidal.

Pada perlawanan pusingan kedua itu, Jun Hao tewas kepada Hong Yang 18-21, 12-21 dalam tempoh 44 minit.

Sementara itu, wakil beregu wanita negara,Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke suku akhir selepas lawan dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menarik diri dari perlawanan.

Pasangan China itu memutuskan untuk tidak meneruskan perlawanan akibat kecederaan, ketika Pearly-Thinaah mendahului set pertama 14-4.

Di suku akhir esok, Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, yang menewaskan wakil tuan rumah, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa, 21-9, 23-21.