SETELAH segala permintaan dipercayai dituruti Persatuan Badminton Malaysia (BAM), prestasi yang dipamerkan gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Terbuka Malaysia 2025, di bawah tahap yang sepatutnya.

Jelas sekali, penyingkiran di pusingan kedua semalam menampakkan gandingan itu bergelut dengan prestasi, selain kelihatan tidak bersedia fizikal dan mental.

Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky mengakui bimbang dengan perkembangan itu malah melihat tahap keyakinan Aaron-Wooi Yik bakal terus merosot sekiranya gagal ditangani segera.

Justeru, beliau menggesa pasangan nombor enam dunia itu segera bangkit menjelang saingan Terbuka India di New Delhi yang akan bermula Selasa, membina semula momentum menjelang kejohanan besar iaitu  Seluruh England pada Mac depan.

Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia dikejutkan dengan kekalahan straight set di tangan gandingan Taiwan yan menghuni ranking ke-27 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 15-21, 18-21 dalam tempoh 47 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Malah Rexy juga mengakui, Aaron-Wooi Yik bermula perlahan, lebih banyak menunggu dan membenarkan lawan memasukkan corak permainan yang dimahukan.

“Pada set kedua, Aaron-Wooi Yik lebih baik, tetapi sepatutnya dengan pengalaman dimiliki mereka, mereka boleh lebih tenang berdepan situasi mata penting tetapi ini tidak berlaku.

“Namun sebaliknya berlaku, mereka membuat kesilapan yang membenarkan lawan mengambil peluang,” katanya.

Justeru, Rexy mahu gandingan itu bangkit di Terbuka India sekali gus mengembalikan keyakinan menjelang Seluruh England.

Aksi hambar Aaron-Wooi Yik semalam, menyaksikan mereka terpaksa menerima kekalahan pertama kepada pasangan kembar Taiwan itu, selepas menang dalam semua dua pertemuan sebelum ini di Terbuka Perancis tahun lalu dan Cabaran Antarabangsa Vietnam 2018.

Untuk rekod, tahun lalu Aaron-Wooi Yik menamatkan Terbuka Malaysia di suku akhir.

Pada Terbuka India minggu depan, mereka akan membuka kempen menentang gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul di pusingan pertama.

Sebelum ini media melaporkan, gandingan itu menuntut beberapa perkara untuk kekal bermain di bawah BAM termasuk gaji lumayan setaraf status mereka di pentas antarabangsa.