HARRY Hartono sah menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pelantikan penuh barisan jurulatih baharu akan diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini, sekali gus menamatkan teka-teki struktur kejurulatihan badan induk itu.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, semua rundingan sudah selesai dan pengumuman rasmi akan dibuat menerusi siaran media dalam minggu ini.
“Kita akan umumkan tidak lama lagi kerana semua perkara sudah disahkan dan semuanya berjalan lancar,” kata Chong Wei.
Harry bukan nama asing dalam arena badminton Asia apabila pernah berkhidmat sebagai jurulatih perseorangan lelaki di Indonesia, termasuk menggalas peranan bersama program elit Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Harry Hartono dikatakan sudah menandatangani persetujuan untuk melatoh skuad badminton Malaysia.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa Harry bakal berkelana di Malaysia malah Chong Wei sendiri memberitahu: “Seorang daripada calon jurulatih dari Indonesia dan saya rasa semua orang sudah tahu siapakah dia.”
Chong Wei mengesahkan semua calon jurulatih, termasuk Harry, sudah menandatangani kontrak dan senarai penuh akan diumumkan selewat-lewatnya hari Jumaat.
“Setakat ini semuanya baik dan lancar, semua sudah disahkan dan paling lewat hari Jumaat ini BAM akan umumkan,” katanya.
Mengulas hala tuju pelantikan itu, Chong Wei menegaskan fokus utama adalah pembinaan jangka panjang menjelang Olimpik 2028 dan 2032 dengan penekanan besar terhadap pembangunan pemain remaja.