PERSEORANGAN remaja elit negara, Justin Hoh menganggap Datuk Misbun Sidek adalah seorang jurulatih terbaik yang berjaya membentuknya menjadi seorang pemain badminton yang cukup berdisiplin.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 19 tahun itu berkata, dalam tempoh singkat tiga tahun dilatih legenda badminton negara itu, dia sedar banyak sumbangan bernama Misbun.

Perkara itu dikongsi Justin menerusi aplikasi Instagram miliknya “justinhoh_0401”.

Gambar kenangan bersama Datuk Misbun Sidek, dikongsi Justin Hoh di media sosialnya

“Saya tahu ramai orang di luar sana meragui awak (Misbun) dan menganggap kaedah latihan yang tidak mengikut peredaran zaman.

“Walaupun hanya tiga tahun oleh awak, saya boleh katakan bahawa awak adalah jurulatih terbaik di mata saya,” kata Justin, meluahkan perasaannya selepas jodoh Misbun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali lagi terlerai.

Menerusi catatan di Instagramnya itu juga, Justin berkata, “Terima kasih kerana mengajar saya bagaimana menjadi atlet yang berdisiplin. Tanpa awak, saya tidak akan berada di tempat saya sekarang.

“Sekali menjadi guru, selamanya menjadi bapa. Terima kasih jurulatih Misbun!”

Catatannya itu agak menyentuh perasaan sesiapa yang membacanya.

FLASH SUKAN menghubungi Justin sendiri bagi mendengar luahan perasaan seorang atlet remaja yang melihat jurulatih yang berjaya membentuknya, tetapi telah disingkir.

“Kalau ikutkan ketika saya di skuad remaja, ramai pemain tidak suka kaedah latihan dia, saya juga pernah mengeluh kerana kaedah latihan yang memenatkan tetapi saya bertahan sehingga saya dapat rasa kaedah latihan itu memberi manfaat kepada saya,” kata Justin, yang kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan buku lali kiri, akibat kecederaan ACL kira-kira empat bulan lalu.

Ujar Justin, dia dijangka kembali pulih kira-kira dua bulan lagi, namun ketika ini gigih menjalani latihan pemulihan di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Mengakui latihan Misbun menjadikannya pemain yang memiliki mental yang kuat dan mendapat body positioning yang baik, Justin mahu Misbun menerima apa yang berlaku dan menikmati kehidupan di luar sana.

Justin Hoh antara pemain dinaikkan Datuk Misbun Sidek.

“Saya harap dia tunggu saya comeback stronger. Coach sudah berusia dan jadikan ini peluang berehat, tak perlu lagi hari-hari risaukan pemain.

“Dulu Misbun hari-hari risaukan prestasi pemainnya, hari-hari stress untuk kami.”

Di bawah bimbingan Misbun, Justin meraih empat gelaran pada 2022, iaitu Kejohanan Antarabangsa Bonn, Jerman, Terbuka Croatia, Siri Antarabangsa Remaja India dan Cabaran Antarabangsa Malaysia.

Malah sejak dinaikkan ke skuad elit kebangsaan tahun ini, Justin berjaya muncul juara di Cabaran Antarabangsa Uganda, naib juara Cabaran Antarabangsa Iran, separuh akhir Kejohanan Antarabangsa Estonia dan China Masters sebelum mara ke suku akhir Cabaran Antarabangsa Osaka, Jepun yang menjadi kejohanan terakhir disertainya April lalu, sebelum mengalami kecederaan.