BEREGU lelaki nombor empat dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menghadiahkan ‘Merdeka awal’ buat peminat badminton tanah air selepas menempah tiket ke final dengan menewaskan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di separuh akhir hari ini.

Turun selaku pilihan keempat, Chia-Soh tampil penuh bertenaga untuk menundukkan pasangan Korea itu dalam aksi straight games 21-17, 21-18 yang berlangsung selama 43 minit.

 

Kemenangan itu turut menyaksikan Chia-Soh memperbaiki rekod pertemuan mereka kepada 2-3.

Aksi separuh akhir menyaksikan pasangan negara tampil agresif sejak awal permainan dengan memberikan tekanan berterusan terhadap Kim-Seo sebelum berjaya mengawal kelebihan untuk mengutip mata penting pada penghujung set pertama.

Memasuki set kedua, Chia-Soh terus mengekalkan momentum dan tidak membenarkan pasangan Korea Selatan itu mengembangkan permainan mereka sekali gus memastikan kemenangan ‘straight games’ untuk mara ke final.

Perjalanan Chia-Soh ke pentas akhir turut memperlihatkan konsistensi mereka sepanjang kejohanan apabila pasangan negara berjaya melepasi setiap halangan sebelum berdepan cabaran terbesar mereka iaitu gandingan nombor satu dunia di separuh akhir.

Kemenangan ke atas Kim-Seo itu menjadi kemuncak kepada perjalanan mereka setakat ini dan membuka peluang buat Chia-Soh untuk menamatkan kejohanan dengan kejuaraan di pentas final.

Kejayaan mara ke final ini sungguh bermakna khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan, dengan Chia-Soh kini hanya selangkah lagi untuk menghadiahkan kejayaan lebih bermakna buat Malaysia selepas kali terakhir mereka memenanginya pada tahun 2022.