PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bakal menaikkan elaun bulanan pemain remaja negara kepada RM1,000 bermula suku kedua tahun ini, satu lonjakan besar berbanding kadar lama sekitar RM400 hingga RM600.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan langkah itu selari dengan pelan jangka panjang Tangkis 2030 yang mahu melahirkan jaguh dunia dengan sokongan menyeluruh sejak peringkat awal.

Bukan sekadar elaun, BAM turut ‘mengangkat beban’ pemain remaja apabila bersetuju menanggung kos tali raket dan kerja stringing yang sebelum ini ditanggung sendiri, dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM400,000 setahun.

“Di bawah Tangkis 2030, fokus kita bukan hanya hantar pemain ke kejohanan, tetapi meringankan kos latihan harian, terutama kos tali raket yang kerap ditukar,” kata Tengku Zafrul.

Mengulas isu elaun, beliau mengakui jumlah sedia ada tidak lagi relevan dengan keperluan semasa, justeru BAM sepakat menaikkan kepada RM1,000 sebulan untuk semua pemain junior yang berada dalam program sekarang.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan, BAM turut membuka pintu kepada sektor korporat dan individu menyertai program ‘Adopt-a-Player’ bagi membantu menampung elaun bulanan pemain remaja.

Tengku Zafrul menegaskan program itu akan dilaksanakan secara adil membabitkan kira-kira 68 pemain, termasuk cadangan menyimpan sebahagian elaun ke dalam akaun simpanan sebagai pelaburan masa depan wira badminton negara.