PELBAGAI drama panas penuh emosi menghiasi aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia dengan menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan satu gol ke Iskandar Puteri pada Ahad ini.
Tanda-tanda awal penguasaan JDT terserlah di Stadium Likas apabila Bergson Da Silva mencemaskan kubu tuan rumah m-2 serta percubaan Arif Aiman Hanapi berjaya digagalkan Damien Lim beberapa minit kemudian.
Pertukaran awal tonggak pertahanan Rizal Ghazali akibat kecederaan awal suku permainan sedikit sebanyak menjejaskan rentak The Rhinos.
Tandukan Bergson m-22 yang menerjah jaring hasil hantaran lintang dari sebelah kanan dibatalkan gara-gara offside.
Arif Aiman menebus kegagalan pada awal permainan dengan rembatan kaki kirinya menewaskan Damien m-34. Gol itu mencetuskan perasaan berang jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang terus meluru memasuki padang membantah pengadil membenarkan jaringan berkenaan.
Akibatnya, Kim Swee menerima kad kuning. Permainan terhenti beberapa kali akibat kekasaran dan insiden ketegangan kedua-dua pasukan serta menimbulkan rasa kurang senang ribuan penyokong setia Sang Badak.
Kemasukan Amri Yahyah menggantikan Baddrol Bakhtiar pada awal separuh masa kedua banyak mengucar-kacirkan barisan pertahanan JDT yang sedikit kelam kabut.
Tindakan kurang cermat Rawilson Batuil menjatuhkan Bergson dalam kawasan penalti mengundang padah apabila pelawat terus mendapat sepakan penalti namun gagal pula dimanfaatkan sendiri oleh Bergson m-57.
JDT terpaksa bermain 10 pemain apabila pertahananya, Feroz Baharudin mengutip kad kuning kedua selepas insiden terjahan ke atas Saddil di tepi padang berhampiran bangku simpanan Sabah.
Semangat juang pemain Sabah yang berusaha memburu gol tidak henti-henti tetapi kesemuanya gagal menerjah jaring sehingga tamat wisel penamat.
Debaran 90 minit lagi akan diteruskan di Iskandar Puteri pada Ahad dengan pemenang akan mara ke final bertemu Terengganu FC atau Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 November depan.