KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menilai perlawanan Liga Super menentang Perak sebagai satu perlawanan yang baik untuk kedua-dua pasukan.

Beliau menyatakan bahawa perlawanan tersebut sangat menarik, dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertahan yang baik serta corak permainan menyerang sejak separuh masa pertama.

“Kedua-dua pasukan bermain secara menyerang pada separuh masa pertama. Kita mencipta banyak peluang, tetapi satu kesilapan di bahagian kiri pertahanan menyebabkan Perak berjaya mendapatkan gol,” katanya selepas perlawanan di Stadium Negeri.

Walaupun begitu, Aidil berpuas hati dengan kempen pasukannya di separuh masa kedua dengan menjelaskan sasaran utama adalah mendapatkan satu gol penyamaan sebelum cuba menjaringkan gol kemenangan.

“Saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka telah memberikan segalanya. Kita mencipta banyak peluang dan mengikut perancangan permainan. Namun, kita harus memberi kredit kepada penjaga gol Perak (Haziq Nadzli) yang beraksi sangat baik.

“Jika bukan kerana beliau, saya rasa kita boleh menang dengan dua atau tiga gol,” tambahnya.

Menurut Aidil, Kuching City lebih banyak menyerang berbanding Perak, tetapi pasukan lawan berjaya memanfaatkan satu peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Walaupun lawan terus mengikut perancangan permainan di separuh masa kedua, nasib tidak menyebelahi mereka untuk mendapatkan jaringan.

“Perak baru sahaja bermain menentang Kelantan, jadi mereka mempunyai momentum perlawanan, berbanding kita yang tidak bermain minggu lepas. Ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap intensiti perlawanan.

“Saya berharap jadual perlawanan di masa depan lebih baik, dengan kurang rehat panjang dan lebih banyak perlawanan untuk mengekalkan momentum,” jelasnya.

Haziq memastikan kubu Perak tidak dapat ditembusi banyak gol pasukan tuan rumah.

Mengulas mengenai perlawanan seterusnya menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Aidil menyatakan keyakinannya terhadap pasukan.

“Kami tahu bukan mudah, tetapi kami telah menewaskan mereka dua kali di tempat mereka sebelum ini. Ini kali ketiga kami bertemu di sana, jadi saya harap pemain lebih yakin dan bersemangat untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Perlawanan seterusnya antara Kuching City dan Penang FC dijangka menjadi ujian getir buat skuad bimbingan Aidil Shahrin, namun dengan semangat yang tinggi, mereka berharap dapat membawa pulang tiga mata berharga.

FOTO : MFL & KUFC