KETUA jurulatih Singapura, Gavin Lee menegaskan tumpuan utama pasukannya ketika berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok adalah untuk mengekalkan prestasi terbaik berbanding hanya memikirkan keputusan perlawanan.
Lee yang bakal mengendalikan Singapura buat kali pertama berkata, beliau mahu pemainnya menilai diri berdasarkan kualiti permainan di atas padang kerana faktor keputusan banyak dipengaruhi perkara di luar kawalan mereka.
“Seperti yang sering saya ulang, keputusan bukanlah sesuatu yang boleh kita kawal kerana terlalu banyak elemen lain yang terlibat. Tetapi apa yang boleh kami kawal adalah prestasi, dan itu akan menjadi fokus utama kami. Lagi banyak perkara positif yang kami lakukan di atas padang, lebih dekat kami kepada keputusan yang baik,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Jurulatih berusia 33 tahun itu juga mengakui aksi menentang Harimau Malaya pastinya sukar, malah bakal disertai dengan detik-detik yang tidak selesa. Namun katanya, kemampuan skuad Singa untuk bertindak balas terhadap tekanan tersebut bakal menjadi kayu ukur sebenar.
“Kami tahu perlawanan esok akan berlangsung sengit, banyak momen tidak selesa yang perlu kami lalui. Tetapi bagaimana kami memberi respon sebagai satu pasukan pada saat itu sangat penting, kerana itulah yang kami perlukan apabila turun ke Kelayakan Piala Asia nanti,” jelasnya.
Perlawanan menentang Malaysia bukan sahaja menjadi pentas ujian buat Singapura, malah peluang buat Lee menilai tahap keserasian dan ketahanan mental anak buahnya dalam menghadapi cabaran di pentas lebih besar.