LEGENDA pengadil bola sepak dunia, Pierluigi Collina, menegaskan bahawa kejayaan sebagai pengadil, pemain, atau individu dalam apa jua bidang tidak akan tercapai tanpa kerja keras yang konsisten. Beliau menyampaikan mesej itu ketika berucap pada World Football Summit di Hong Kong, hari ini.

Menurut Collina, bakat sememangnya penting dan ada kalanya bersifat semula jadi, namun tidak mencukupi untuk membawa seseorang ke tahap tertinggi. Katanya, kejayaannya sendiri sebagai pengadil banyak bergantung kepada usaha tanpa henti serta disiplin dalam memperbaiki diri.

“Segala pencapaian saya selama ini bukan semata-mata kerana bakat, tetapi kerana kerja keras yang berterusan. Itu adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan jika mahu berjaya,” jelasnya.

Collina turut memberi nasihat khusus kepada pengadil muda agar bekerja keras sejak awal kerjaya, sementara pengadil berpengalaman juga perlu mengekalkan usaha bagi memenuhi standard tinggi yang dituntut dalam bola sepak moden.

Beliau memberi contoh trio pengadil Asia yang diberi kepercayaan mengendalikan final Piala Dunia Kelab FIFA baru-baru ini. Alireza Faghani bersama pembantunya dipuji kerana dedikasi dan kerja keras yang mereka tunjukkan sepanjang bertahun-tahun.

“Walaupun berdepan cabaran, Faghani tidak berputus asa. Kesungguhannya akhirnya membolehkannya mengadili perlawanan akhir, sekali gus membuktikan bahawa ketekunan dan kerja keras sentiasa mendatangkan hasil,” kata Collina.