KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menegaskan Faisal Halim berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal dan mental menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Clamovski menyifatkan bintang sayap kebangsaan itu sebagai seorang pemain berkelas dunia yang menunjukkan disiplin tinggi sepanjang sesi latihan dan mesyuarat pasukan meskipun berdepan isu peribadi di luar padang.
“Dari sudut bola sepak, Faisal memang world-class. Dia berlatih keras, berdisiplin di kem, sama ada dalam mesyuarat pasukan atau perbincangan individu. Mindset dia untuk sentiasa berada di tahap terbaik menjadi inspirasi buat semua. Dari aspek peribadi, itu urusan dia dan keluarganya, dan kami sentiasa beri sokongan penuh,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Jurulatih dari Australia itu turut menegaskan isu peribadi Faisal langsung tidak menjejaskan fokusnya bersama skuad negara, malah kekal komited untuk memberikan yang terbaik di atas padang.
“Dia dalam kondisi terbaik. Faisal tetap seorang inspirasi buat negara dan saya yakin dia akan terus melakukannya,” ujar Clamovski.
Mengulas sama ada Faisal akan diturunkan menentang Singapura, Clamovski sekadar memberi bayangan bahawa ketua pasukan Selangor FC itu kekal tersedia untuk dipilih.
“Dia berlatih bersungguh-sungguh dan sudah bersedia sepenuhnya. Keputusan akhir siapa yang diturunkan hanya akan diumumkan esok,” tambahnya.
Selain Faisal, Clamovski turut memanggil beberapa muka baharu untuk dua aksi Tier 1 kali ini yang turut menyaksikan Harimau Malaya bakal berdepan Palestin di Johor Bahru, 8 September depan.