SELANGOR FC hari ini mengumumkan perubahan di bangku kejurulatihan pasukan utama apabila ketua jurulatih Katsuhito Kinoshi, direhatkan daripada tugasnya berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan media rasmi, pihak kelab merakamkan penghargaan kepada Kinoshi atas segala usaha, komitmen dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama pasukan.
Sepanjang membimbing Selangor FC, Kinoshi dilihat cuba membawa pendekatan tersendiri, namun pihak pengurusan kini memilih untuk membuat perubahan demi memastikan hala tuju pasukan kekal berada di landasan terbaik.
Buat sementara waktu, tanggungjawab Ketua Jurulatih pasukan utama akan digalas oleh Christophe Gamel yang dilantik sebagai jurulatih interim.
Gamel, yang sebelum ini pernah membimbing beberapa pasukan di peringkat antarabangsa dan tempatan dijangka akan mengisi kekosongan tersebut sehingga kelab menemui pengganti tetap.
Selangor FC menegaskan proses pelantikan Ketua Jurulatih baharu sedang dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Kredit Gambar : Selangor FC