PEMAIN sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mengukir nama di persada bola sepak Asia apabila disenaraikan antara tiga calon akhir untuk merebut anugerah berprestij ‘AFC Player of The Year’ pada majlis AFC Awards Riyadh 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober depan.
Arif mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menerima pencalonan tersebut selepas mempamerkan aksi luar biasa sepanjang musim 2024-25, termasuk meledak lima gol di pentas Liga Juara-Juara AFC Elite.
Selain menggegar Asia, Arif turut memainkan peranan penting dalam membantu Harimau Selatan merangkul empat kejuaraan domestik musim lalu, sekali gus mengukuhkan reputasi JDT sebagai kuasa besar bola sepak serantau.
Persaingan untuk gelaran Pemain Terbaik AFC bagaimanapun dijangka sengit dengan Arif bakal berentap dengan dua nama besar Asia iaitu bintang Qatar dan Al-Sadd, Akram Afif serta tonggak Al-Hilal dan Arab Saudi, Salem Al Dawsari.
Pada musim 2024-25, pemain berusia 23 tahun itu tampil dalam 42 perlawanan dengan rekod 18 gol serta 14 bantuan jaringan, manakala untuk musim semasa 2025-26, Arif sudah mencatatkan sembilan penampilan dengan lima gol dan 10 bantuan jaringan.
Konsistensi serta kemampuan mencipta impak dalam setiap perlawanan meletakkan Arif sebaris dengan pemain-pemain elit Asia, malah turut menjadi kebanggaan buat peminat bola sepak tempatan yang selama ini menantikan detik seorang anak Malaysia mendapat pengiktirafan di pentas tertinggi AFC.
Pencalonan ini juga membuka lembaran baharu buat JDT yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa dengan slogan ‘Luaskan Kuasamu Johor’ kini benar-benar menembusi sempadan Asia.
Kini, seluruh tumpuan peminat bola sepak tanah air pastinya terarah ke Riyadh pada 16 Oktober nanti, menantikan sama ada Arif Aiman berjaya mencipta sejarah bergelar pemain pertama Malaysia yang dinobatkan Pemain Terbaik AFC.