Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 melabuhkan tirai dengan pelbagai pencapaian membanggakan apabila beberapa atlet bukan sahaja mencatat rekod baharu temasya, malah turut memecahkan rekod kebangsaan sepanjang kejohanan.
Edisi ke-22 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos itu menghimpunkan atlet dari seluruh negara dalam 37 jenis sukan membabitkan 368 acara, sekali gus menjadi medan penting untuk mengukur perkembangan bakat muda di peringkat negeri.
Antara cabang yang paling menyerlah ialah olahraga apabila beberapa rekod lama berjaya diperbaharui. Pelari pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, menjadi antara bintang utama selepas memenangi tiga pingat emas.
Danish mencipta rekod baharu SUKMA dalam acara 200 meter (m) lelaki dengan catatan 20.85 saat, selain membantu kuartet Johor meraih emas 4x100m lelaki dan turut mengungguli acara 100m.
Dalam acara lain, rekod temasya turut diperbaharui dalam 110m lari berpagar lelaki, lontar peluru wanita, 10,000m wanita, 20,000m jalan kaki wanita serta 4x100m lelaki, menunjukkan peningkatan kompetitif dalam kalangan atlet muda.
Di kolam renang pula, Eliza Tan Ai Shen dari Selangor mencuri perhatian apabila dua kali memperbaharui rekod kebangsaan 100m gaya bebas wanita sebelum merekodkan catatan baharu 56.78 saat.
Catatan tersebut menjadikan Eliza perenang wanita Malaysia pertama berjaya mencatat masa di bawah 57 saat bagi acara berkenaan. Dia turut menambah emas dalam acara 200m gaya bebas dengan masa 2:05.26 saat.
Lebih membanggakan, Eliza turut memperbaharui beberapa rekod temasya dalam 50m gaya bebas, 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian, selain dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2026.
Dalam sukan menembak, atlet Pahang Chedh Zen Hong pula tampil cemerlang dengan kutipan sembilan pingat emas dan satu perak. Prestasinya turut diserikan dengan dua rekod baharu temasya menerusi acara 10m air pistol dan 25m sport pistol, sekali gus membolehkannya dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA 2026.
Satu lagi pencapaian menarik hadir menerusi acara berbasikal trek apabila kuartet wanita Terengganu memperbaharui rekod kebangsaan acara kejar-mengejar berpasukan dengan catatan 4:42.878 saat, lebih pantas berbanding catatan 4:46.824s yang dilakukan pada peringkat kelayakan.
Secara keseluruhan, pencapaian yang dicatatkan sepanjang SUKMA Selangor 2026 bukan sahaja memperlihatkan persaingan sengit antara kontinjen, malah memberi gambaran positif terhadap perkembangan atlet muda di peringkat negeri.
Lebih penting, kemunculan rekod kebangsaan dalam temasya peringkat pembangunan seperti SUKMA memberi petanda bahawa sebahagian atlet muda negara berpotensi untuk diketengahkan ke pentas lebih tinggi, termasuk Sukan SEA, Sukan Asia dan kejohanan antarabangsa.
Selepas Selangor menjadi tuan rumah edisi kali ini, Kelantan bakal mengambil alih tanggungjawab sebagai tuan rumah SUKMA 2028, dengan tumpuan kini beralih kepada usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu meneruskan momentum kecemerlangan sukan negara.