KUALA LUMPUR City FC mahu menebus kekecewaan terlepas tiga mata penuh selepas diikat Penang FC apabila melayan kunjungan juara Piala Sumbangsih, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk perlawanan kedua Liga Super pada Rabu.

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu pastinya menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan ditambah kontroversi harga jualan tiket pasukan lawan yang dikatakan terlalu tinggi daripada biasa.

Anak-anak buah Bojan Hodak yang mendapat suntikan dana baharu menerusi pengambilalihan saham kelab ingin membuktikan mereka mampu menyaingi JDT selepas gagal melakukannya musim lalu apabila tewas ketiga-tiga perlawanan dengan keputusan 0-3 di tempat sendiri serta 0-3 dan 0-5 di tempat lawan.

 

Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak bersedia untuk menghadapi Harimau Selatan tetapi risau dengan keadaan padang yang tidak memuaskan meskipun dilihat mungkin memberikan sedikit kelebihan buat mereka.

“Kami sudah bersedia untuk menghadapi JDT dan keadaan padang yang kurang memuaskan ini mungkin akan menyukarkan mereka bermain corak permainan mereka namun saya tetap jangkakan ianya adalah satu perlawanan yang sukar,” kata Bojan.

Sementara itu, JDT yang baru sahaja menambah koleksi kejuaraan mereka yang ke-23 dalam sejarah kelab pastinya mahu terus mengutip tiga mata bagi membina momentum yang baik di awal musim walaupun sedar KL City adalah lawan yang sukar.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata mereka sudah menganalisis video corak permainan KL dan merumuskan skuad Warga Kota itu mempunyai individu yang bagus dan membentuk satu pasukan yang baik walaupun keadaan padang sedikit menggusarkan.

“Kami sedar ianya sesuatu yang sukar lawan KL yang mempunyai satu pasukan yang baik. Kami akan bermain di tempat lawan di atas padang yang sukar dan kami bersedia dan mahu memberikan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata,” jelas Solari.

Jadual yang padat juga akan menyaksikan kedua-dua pasukan melakukan penggiliran pemain dan siapa yang cepat menyesuaikan diri dengan keadaan padang akan mempunyai kelebihan dalam menentukan keputusan perlawanan.

KL City mempunyai satu hari rehat yang kurang berbanding JDT tetapi mereka mempunyai sedikit kelebihan kerana tidak perlu menjelajah kerana akan bermain di gelanggang sendiri untuk dua perlawanan berturut-turut .

Kemenangan bukan sahaja akan membantu KL City memperbaiki kedudukan dalam carta liga malah akan meleburkan rekod tanpa kalah JDT dalam Liga Super selepas mencatat rekod kejuaraan tanpa kalah musim lalu.

Rekod pertemuan lima perlawanan terdahulu:

12 September 2021 – JDT 2-1 KLC

30 November 2021 – KLC 2-0 JDT

26 Februari 2022 – JDT 3-0 KLC

06 April 2022 – KLC 0-3 JDT

01 Ogos 2022 – JDT 5-0 KLC