PENYERANG berbisa Kedah Darul Aman FC, Ifedayo Olusegun mengakui keadaan padang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tidak berada dalam keadaan yang baik sekali gus merencatkan aksi pasukan ketika berdepan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Dia yang menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti juga gembira dengan aksi yang ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya kerana tiga mata amat penting untuk mereka bagi mengejar tempat kedua liga yang menjanjikan slot ke Piala AFC musim hadapan.
“Saya rasa KL adalah pasukan yang sangat berdisiplin secara taktikal dan Kedah juga sudah lama tidak menang di sini. Ianya cukup baik untuk mendapat tiga mata setelah berikan yang terbaik dan tiga mata ini juga penting untuk kami mengejar kedudukan nombor dua liga.
“Padang kelihatan cantik dari luar tetapi tidak dalam keadaan yang baik sebenarnya. Kami gagal kenal pasti masalah ini lebih awal dan kami cuba menggelecek serta memegang bola lebih lama tetapi ianya tidak berhasil kerana padang tidak baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Bekas penjaring terbanyak Liga Super itu juga menyedari bekas majikannya, Selangor FC semakin baik dari segi prestasi namun dia yakin Kedah mampu mencabar jika terus mempamerkan aksi seperti dalam perlawanan ini.
“Selangor adalah pasukan yang baik tetapi kami perlu sentiasa berikan yang terbaik dan jika kita dapatkan pamerkan aksi seperti malam ini atau ketika bertemu JDT, kita berpeluang untuk memenangi kesemua baki perlawanan,” jelasnya yakin.
Sejak menyertai Kedah pada pertengahan musim, Ifedayo telah menjaringkan tujuh gol dan dia dilihat tidak kekok untuk bergandingan dengan sesiapa pun di bahagian serangan sekaligus membantu skuad kendalian Nafuzi Zain itu memanjat carta liga dan kini menjadi pencabar slot ke Asia musim hadapan.