KETUA pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin hanya boleh menggambarkan aksi suku akhir kedua Piala FA 2024-25 sebagai luar biasa apabila Gergasi Merah mengatasi Kuching City 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 4-4 secara aggregat dalam 120 minit.

Pemain kebangsaan Singapura itu turut mengakui skuadnya berada dalam tekanan di sepanjang perlawanan ekoran gol awal yang dijaringkan Kuching City selain terpaksa bermain dengan sembilan pemain selepas dua Yohandry Orozco dan Reziq Banihani dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Dia yang dianggap umpama pembantu jurulatih di dalam padang oleh pengendali, Nidzam Jamil mengakui keharmonian dalam pasukan menjadi nadi utama kejayaan Selangor menempah tempat ke separuh akhir bertemu Terengganu FC.

Safuwan menyempurnakan penalti pertama untuk kurangkan beban pada pemain-pemain muda. 

“Ianya sangat luar biasa. Kami berada dalam tekanan sejak awal dan saya pemain import terakhir dalam padang. Bukan mudah nak tenangkan pemain muda tetapi mereka berjaya bertahan sepanjang masa tambahan dan akhirnya rezeki kami untuk menang malam ini.

“Komunikasi saya di dalam padang bersama pemain sangat rapat dan saya mudah didekati oleh pemain dan juga barisan kejurulatihan. Keharmonian ini menjadi penyebab dan kemenangan ini milik semua, bukan hanya pemain tetapi pengurusan, barisan kejurulatihan dan juga penyokong Selangor.

“Saya bangga dengan para pemain dan kita semua mendapat satu pengajaran selepas gol terakhir bahawa bola sepak hanya berakhir apabila wisel penamat ditiupkan dan kita tidak boleh selesa meskipun mendahului,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pemain-pemain meraikan kejayaan layak ke separuh akhir Piala FA. 

Safuwan turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Selangor yang secara konsisten memenuhkan Stadium MBPJ dan dia menganggap ini adalah faktor utama para pemain dapat menampilkan aksi yang bertenaga.

“Terima kasih pada penyokong yang sentiasa menjadi tulang belakang pasukan dan kami gembira kerana berjaya letakkan senyuman di wajah penyokong dan berharap semua untuk teruskan sokongan bukan sahaja di tempat sendiri tetapi juga di tempat lawan,” jelasnya.