PEMAIN tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba menyahut cabaran baharu apabila menyertai KL City secara pinjaman selama semusim daripada JDT untuk menghadapi saingan Liga Super 2025/2026. Musim lalu, pemain tengah berusia 27 tahun itu beraksi bersama Penang FC juga secara pinjaman dan menunjukkan prestasi konsisten di bahagian tengah.

Menurut Syamer, keputusan menyertai KL City dibuat selepas melihat perancangan menarik pihak pengurusan yang menggabungkan pemain berpengalaman dan tonggak sedia ada. Baginya, kombinasi ini mampu membentuk skuad yang berdaya saing dan mantap.

“KL City berjaya mendapatkan pemain berkualiti yang boleh memperkukuh pasukan, Saya percaya dengan gabungan ini, kami mampu memberikan saingan sengit musim ini, kata Syamer.

Syamer juga tidak melihat isu keserasian sebagai penghalang kerana sudah pernah bermainbersama beberapa pemain KL City sebelum ini. Antara mereka ialah Paulo Josue dan Zhafri Yahya yang pernah bersamanya dalam skuad kebangsaan.

Kehadiran Safawi Rasid, bekas rakan sepasukan di JDT, turut memudahkannya untuk menyesuaikan diri di KL City. Faktor ini menjadi kekuatan tambahan buat Syamer untuk memberikan aksi terbaik di atas padang.

Cabaran utama Syamer ialah menambat hati jurulatih baharu KL City, Risto Vidakovic namun, Syamer bersedia bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan pengendali berpengalaman dari Serbia itu.

kebiasaanya jurulatih dari Eropah mempunyai pendekatan taktikal yang berbeza dan corak permainan juga lebih agresif . Saya sedia bersaing merebut tempat dan juga cuba membawa permainan saya ke aras lebih tinggi musim ini, tambah Syamer.

Selain Syamer dan Safawi, KL City turut memperkuatkan skuad dengan kehadiran Manuel Hilgado, bekas pemain import Sri Pahang. Bekas juara Piala Malaysia 2021 ini kini kembali sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian musim ini.