KECEDERAAN terbaharu yang dialami penyerang Darren Lok pasti mencetuskan keresahan buat pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon menjelang saingan Kumpulan D Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 awal bulan depan.

Darren terpaksa dikeluarkan pada minit ke-78 akibat kecederaan ketika dia membantu Sabah FC menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas semalam.

Sudah pasti ini berita yang tidak mahu didengari Pan-gon yang sudah kehilangan tiga tonggak utama di bahagian serangan iaitu Romel Morales, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim akibat kecederaan.

Bagaimanapun, Darren yang meledak gol pertamanya musim ini dalam perlawanan menentang Kuching City berharap ia bukan kecederaan serius yang dialami pada kakinya.

“Esok (hari ini) mungkin saya akan melakukan ujian imbasan, saya tak pasti sama ada ia kecederaan serius atau tidak cuma saya ada merasai sesuatu (kesakitan). Saya fikir ia OK,” katanya.

Image

Darren Lok sempat menjaringkan gol penati Sabah FC sebelum dikeluarkan Kim Swee gara-gara kecederaan.

Skuad kebangsaan akan memulakan latihan pusat bermula esok bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

26 pemain telah disenaraikan oleh Pan Gon bagi tugasan antarabangsa kali ini yang cukup kritikal dalam menentukan nasib Harimau Malaya dalam perebutan slot ke pusingan seterusnya.

Menurut Darren, dia tetap yakin dengan keupayaan Harimau Malaya meskipun tanpa dua sayap lincah Arif dan Faisal.

“Mereka adalah dua pemain penting bagi pasukan tapi pemain lain yang dipanggil juga mempunyai potensi jadi kami perlu pergi dengan keyakinan untuk mendapatkan keputusan baik. Meskipun tanpa mereka kita masih ada peluang.

“Kami tahu apa yang kami perlu lakukan, kami tahu berapa banyak mata yang kami perlu kumpulan dan ia bukan tugas mudah. Tapi kami perlu berikan aksi terbaik dan kami yakin akan dapat memperbaiki kedudukan,” katanya.

Selepas empat perlawanan, skuad kebangsaan kini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul enam mata, di belakang Oman dan Republik Kyrgyz yang masing-masing berkongsi sembilan  mata.