Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen menegaskan beliau tidak panik susulan kecederaan terbaharu yang dialami pemain profesional negara, Lee Zii Jia.
Menurutnya, Zii Jia mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali sehingga tidak dapat menyertai sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun situasi itu tidak membimbangkan.
Jonassen menjelaskan bahawa kecederaan tersebut dianggap kecil dan beliau yakin pemain berkenaan mampu pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi serius.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan Zii Jia kembali cergas sepenuhnya tanpa perlu tergesa-gesa menyertai latihan atau pertandingan.
“Ini hanya kecederaan kecil dan saya yakin dia mampu mengatasinya. Apa yang penting, dia pulih sepenuhnya dan kembali ke gelanggang secepat mungkin,” katanya semalam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan masih ada tempoh mencukupi sebelum bermulanya Piala Thomas 2026, justeru pemain tidak perlu dipaksa untuk kembali lebih awal daripada keadaan sebenar.
Zii Jia yang kini berada di ranking ke-80 dunia kembali beraksi pada Januari lalu selepas lebih setahun dibelenggu kecederaan, namun prestasinya masih belum stabil apabila tersingkir awal dalam kebanyakan kejohanan musim ini.
Sementara itu, seorang lagi pemain profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin turut berada dalam radar pemilihan selepas mengikuti kem latihan hampir dua minggu dan menunjukkan peningkatan positif.
Mengulas persiapan pasukan, Jonassen berkata kem latihan berpusat di Herning, Denmark bakal menjadi platform penting dalam membentuk keserasian serta semangat berpasukan menjelang kejohanan tersebut.
Malaysia diundi dalam kumpulan bersama Jepun, England dan Finland dengan misi menamatkan penantian 34 tahun untuk menjulang Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada 1992 di Kuala Lumpur.