MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi amaran tegas kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar tidak mensia-siakan pelaburan negara dengan memisahkan gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Menurut Hannah, pasangan itu hanya akan kekal dalam Program Road to Gold (RTG) sekiranya mereka terus bergandingan, kerana penyertaan mereka adalah bersyarat meskipun kini berada di ranking keempat dunia dan disenarai dalam misi memburu emas Olimpik Los Angeles 2028.

“Negara sudah melabur banyak duit untuk pasangan ini dan sudah membuahkan hasil.

“Saya mahu pastikan BAM dan pemain ini ada komitmen. Senarai RTG ini untuk mereka berdua, bukan untuk gandingan baharu,” tegas Hannah dalam sidang media pengumuman atlet RTG pada Selasa.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dicalonkan ke dalam Program RTG buat kali pertama.

Sebelum ini, BAM mengambil keputusan memisahkan pasangan itu susulan prestasi yang merosot serta hubungan yang dilaporkan semakin renggang. Kini, Tang Jie digandingkan dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei bersama Loo Bing Kun.

Hannah menekankan bahawa RTG adalah program berimpak tinggi yang menggunakan dana besar kerajaan, justeru setiap keputusan perlu dibuat secara bertanggungjawab dan berlandaskan kepentingan jangka panjang.

Gandingan ranking keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan kemelut persefahaman dan dijadual berpisah sementara.

“Duit kerajaan mesti ada akauntabiliti. Tak boleh tiba-tiba tukar pasangan atau enggan bermain.

“Disiplin dan komitmen sangat penting dalam memastikan pelaburan ini berbaloi,” katanya lagi.

Goh Soon Huat-Shevon Lai kini di ranking ketiga dunia, bakal membolehkan mereka mendapat khidmat terbaik dari Progran RTG.

Jelas beliau, semua isu berkaitan penyertaan dan komitmen atlet akan dibincangkan dalam tempoh dua minggu akan datang, termasuk sesi libat urus bersama penyelaras RTG dan pemain terlibat.