IMPIAN skuad Malaysia untuk mara ke final bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 lebur di Stadium Rajamangala apabila kesilapan mudah di zon berbahaya dihukum oleh Yotsakorn Burapha, sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada tuan rumah Thailand dalam aksi separuh akhir, Isnin malam.
Perlawanan yang bermula dengan tempo tinggi bertukar mimpi ngeri buat Harimau Muda seawal minit kelapan apabila tindakan cuai Aiman Yusuf menjatuhkan pemain Thailand di hadapan kotak penalti membuka ruang buat sepakan percuma.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Yotsakorn Burapha yang melepaskan rembatan tepat menembusi pintu gol negara, jaringan yang terbukti menjadi pemisah perlawanan.
Malang skuad muda negara bertambah parah apabila Aiman sekali lagi menjadi tumpuan, kali ini selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-15 akibat menarik baju lawan, memaksa Malaysia beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan.
Kekurangan seorang pemain jelas menjejaskan organisasi permainan, dengan Thailand selaku juara Kumpulan A mengawal tempo dan ruang, manakala Malaysia yang mara sebagai naib juara terbaik bergelut mengekang asakan.
Walaupun berusaha mempertahankan kedudukan dan sesekali mencipta detik mencemaskan, disiplin dan kelebihan pemain membolehkan Thailand menutup semua ruang hingga wisel penamat.
Keputusan 1-0 kekal, mengesahkan kemaraan Thailand ke final untuk berdepan Vietnam, sementara Malaysia terpaksa menelan hakikat pahit tersingkir akibat kesilapan sendiri.
Perlawanan akhir bagi merebut pingat emas acara bola sepak lelaki akan menemukan Thailand vs Vietnam pada malam 18 Disember ini manakala Malaysia vs Filipina bakal berlangsung terlebih dahulu pada sebelah petang bagi merebut pingat gangsa.