TONGGAK terbaharu Kedah Darul Aman FC, Manuel Ott yakin Sang Kenari mampu menamatkan penantian kejuaraan sejak 2008 seandainya diberikan tempoh masa yang sesuai.
Menjadikan faktor kehadiran Nafuzi Zain sebagai tarikan utama untuk memilih bersama Kedah musim ini, Ott mengagumi cara serta falsafah bola sepak Nafuzi walaupun baharu bekerjasama selama semusim semasa di Terengganu FC
Tidak menunggu lama apabila menerima lamaran untuk ke Kedah, Ott melihat penerapan bola sepak moden diamalkan Nafuzi yang banyak mengamalkan corak formasi 4-3-3 adalah sesuai dengan gaya permainannya di bahagian tengah.
“Tidak dinafikan yang saya datang ke Kedah kerana mahu terus bekerja dengan Nafuzi, saya sangat selesa dengan cara serta pendekatannya.

Dilahirkan di Munich, Jerman, Ott memulakan karier awalnya di Jerman sebelum beraksi di Filipina, Thailand dan Malaysia.
“Apa yang saya suka mengenai beliau adalah mengenai taktikal dan formasi yang digunakan,satu sistem yang memberikan banyak ruang untuk saya tunjukkan kemampuan saya.
“Jika diberikan tempoh yang bersesuaian, saya yakin bersama-sama beliau, Kedah mampu menamatkan penantian kejuaraan yang ditunggu oleh peminat-peminat.
“Namun, perlu diingat sebahagian besar pemain Kedah terdiri daripada muka-muka baharu dan sudah tentu, segalanya mengambil masa untuk kami serasi bersama serta memahami falsafah yang akan diterapkan Nafuzi
“Apa-apapun setakat ini saya sangat gembira berada di Kedah malah berasa sangat dialu-alukan oleh sebahagian besar peminat di sini,” katanya.
Bersama Kedah, ini bakal menjadi musim ketiga pemain berusia 31 tahun berkenaan di Liga Malaysia selepas di Melaka United (2021) dan Terengganu FC (2022).
Semasa di Melaka, dia berjaya melakukan enam jaringan dengan 31 penampilan sebelum penampilannya di Terengganu pada musim lalu, memperlihatkan angka jaringan sama berjaya dicatatkan dalam 32 aksi.
Di peringkat antarabangsa, pemain antarabangsa Filipina itu telah mengumpul 57 caps bersama skuad negaranya serta menjaringkan empat gol secara keseluruhan.