KELIBAT juara Sukan Asia 2006, Tan Boon Heong di kem latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini amat mengujakan.
Kehadiran bekas gandingan Koo Kien Keat dan juga jurulatih beregu Hoon Thien How itu, dilihat membangkitkan semangat pemain yang pasti pernah mengidolakannya.
Difahamkan, kehadiran Boon Heong adalah membantu skuad negara sebagai rakan “sparring”.
“Ini bukan kali pertama saya sparring dengan skuad kebangsaan. Kali pertama saya hadir sebelum mereka ke Eropah.
“Kali kedua saya datang juga saya bersama beregu lelaki tapi hari ini, saya membantu beregu wanita dan beregu campuran,” kata Boon Heong kepada FLASH SUKAN.
Dia sendiri kelihatan selesa dan seronok dapat membantu pemain badminton negara berkata, dia sedia berkongsi apa sahaja sekiranya ada pemain mahukan khidmat nasihat.
Katanya, berdasarkan pemantauannya, semua pemain kebangsaan mempamerkan sikap yang sangat bagus dalam latihan.
“Setakat ini, saya tidak berkongsi apa-apa pandangan atau pengalaman, kerana hadirnya saya adalah untuk membantu mereka menjalani latihan sebagai rakan sparring.
“Bagi saya, urusan saya dengan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia-BAM) adalah sebagai rakan sparring.
“Jika Rexy minta saya berkongsi pandangan, baharu saya kongsi, atau jika ada mana-mana pemain bertanyakan saya, bagaimana nak meningkatkan prestasi atau memerlukan pengalaman saya berkaitan badminton, saya sedia membantu,” katanya.
Sementara itu, Rexy berkata, kehadiran Boon Heong membantu latihan pemain bukan satu ketetapan sebaliknya atas inisiatif pemain itu mahu membantu skuad kebangsaan.
“Dia (Boon Heong) datang sini tolong kita sahaja bukan tetap. Dia akan hubungi saya sehari awal jika ada masa untuk menjadi rakan sparring, begitu sahaja,” kata Rexy.