BEREGU lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus dihimpit kekecewaan apabila masih tidak berjaya memenangi gelaran Super 1000, biarpun kali kelapan mara ke final Jelajah Dunia tertinggi itu di Seluruh England, awal pagi tadi.
Gandingan nombor dua dunia itu, buat kali ketiga muncul naib juara kejohanan berprestij itu selepas tunduk kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam pertarungan sengit di Utilita Arena Birmingham.

Meskipun pada satu ketika, Aaron-Wooi Yik seakan pasti merangkul kejuaraan, namun keazaman mereka dapat dipatahkan pasangan dari Korea Selatan, Won Ho-Seung Jae.
Walaupun bermula cemerlang dengan memenangi set pertama, pasangan pilihan kedua itu akhirnya akur dengan kehebatan pasangan nombor satu dunia berkenaan apabila tewas 21-18, 12-21, 19-21.
Kekalahan itu juga menjadi yang kedua buat Aaron-Wooi Yik di pentas final menentang Won Ho-Seung Jae selepas turut tewas kepada pasangan sama di final Teebuka Malaysia Januari lalu.
Malah, rekod pertemuan kedua-dua pasangan itu juga tidak memihak kepada wakil negara selepas mereka pernah tewas di separuh akhir Terbuka India tahun lalu sebelum hanya mencatat satu kemenangan di final Terbuka Singapura pada tahun sama.
Kegagalan itu sekali lagi memanjangkan penantian Malaysia untuk melihat beregu lelaki muncul juara Seluruh England sejak kali terakhir diraih pasangan legenda Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.
Aaron mengakui kekalahan itu amat menyakitkan namun percaya masih banyak perkara boleh dipelajari daripada perlawanan akhir yang sengit itu.

Kim Won Ho-Seo Seung Jae wering menjadi petualang menyekat impian beregu lelaki negara.
“Sudah tentu kalah itu menyakitkan tetapi kami masih melakukan yang terbaik dan berjaya melangkah ke final menentang pasangan terbaik dunia,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Wooi Yik pula menjelaskan mereka sebenarnya berada di landasan baik dalam set penentuan sebelum keadaan berubah selepas pertukaran petak gelanggang.
“Kami mendahului dengan baik dalam set ketiga tetapi selepas bertukar gelanggang, lawan mempunyai sedikit kelebihan dan kami tidak dapat mengawal permainan pada saat-saat genting,” katanya.
Sebagai naib juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$50,750 (RM200,331) manakala Won Ho-Seung Jae meraih AS$107,300 (RM423,432) selepas muncul juara.