TERENGGANU FC (TFC) akan mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu bagi membawa cabaran dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, keputusan itu dibuat selepas Nafuzi Zain sah menolak tawaran lanjutan kontrak menerusi surat balas yang diserahkan pada Isnin.
Menurutnya, pihak pengurusan akan meneliti calon dari dalam dan luar negara yang telah menyatakan minat bagi mengisi jawatan kerusi panas berkenaan.
“Kami sudah terima jawapan beliau (Nafuzi) pada petang Isnin yang menyatakan tidak bersetuju menyambung kontrak bersama TFC bagi saingan 2023.
“Namun tiada sebarang perubahan dibuat untuk baki kempen Piala Malaysia di mana beliau akan meneruskan sekurang-kurangnya dua perlawanan lagi.
“Semestinya dengan ketiadaan ketua jurulatih, kita akan mencari pengganti yang diharap boleh menyamai pencapaian yang diraih musim ini.
“Kami mahu berterima kasih kepada beliau yang telah menunjukkan hasil positif sejak 2016 ketika bersama skuad Piala Presiden T-Team,” jelasnya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.
Ab. Rasid berkata demikian pada majlis penyerah tajaan RM1.6 juta daripada syarikat pelaburan strategik kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorperated.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ketua jurulatih baharu yang bakal dilantik tidak perlu meneruskan kesinambungan yang dilakukan Nafuzi sejak tujuh tahun lalu.
“Liga M dijangka bermula lewat Februari atau awal Mac tahun depan dan sebelum tempoh itu TFC akan dilatih pengendali terbaik yang boleh memberikan keputusan sama atau lebih baik lagi.
“Sudah ada ‘proposal’ daripada jurulatih asing dan tempatan untuk jawatan itu namun kita akan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum memilih calon terbaik,” tambah Ab. Rasid.