KUALA Lumpur City FC mendapat semangat tambahan menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu apabila dua pemain yang dipinjamkan dari Harimau Selatan, Ryan dan Declan Lambert boleh bermain dan tidak tertakluk kepada peraturan ‘gentleman agreement‘.
‘The Lambert Brothers’ sebelum ini berhijrah ke JDT dan kemudiannya dipinjamkan semula ke Kuala Lumpur City untuk membantu skuad kendalian Miroslav Kuljanac bersaing dalam Liga Malaysia musim 2024-25.
Bagaimanapun, mereka berdua tidak tertakluk kepada ‘gentleman agreement’ antara kedua-dua kelab dan bebas diturunkan dalam aksi kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras seperti yang disahkan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard.

Declan dan Ryan boleh beraksi menentang JDT meskipun berstatus pinjaman
“Ye kedua-dua mereka dibenarkan bermain dan tidak tertakluk kepada peraturan pinjaman dan ini perkara yang baik kerana mereka dapat menampung kehilangan tiga lagi pemain yang cedera serta menjalani penggantungan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Skuad Warga Kota kehilangan khidmat Kamal Azizi dan Lazar Sajcic yang mengalami kecederaan dan menambah tekanan buat barisan pertahanan apabila Adrijan Rudovic pula terpaksa diketepikan selepas menerima kad merah ketika berdepan Kuching City FC pada aksi pembukaan liga.
Sementara itu Kuljanac mengakui tugas sukar menanti pasukannya selepas kehilangan tiga pemain penting di barisan pertahanan kerana dia sedar akan kualiti yang ada pada kendalian Hector Bidoglio.

Pengendali Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac sedar cabaran yang akan dihadapi
“Lazar, Kamal dan Rudovic sudah pasti tidak dapat beraksi dan kami akan mengenalpasti siapa yang bakal mengambil alih tugasan mereka kerana kita sedar dengan barisan terbaik pun, JDT adalah lawan yang sukar,” jelasnya.
KL City mahu mendapatkan tiga mata dalam pertemuan ini namun ianya bukan mudah dengan JDT dilihat tidak akan melepaskan peluang untuk meraih mata penuh di Cheras bagi mengukuhkan cengkaman mereka di takhta liga.