KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio teruja apabila berjaya menjulang dua piala bersama Harimau Selatan dalam tempoh yang sangat singkat.
Dia yang menggantikan Benjamin Mora pada Julai kini telah bergelar juara Piala FA dan kini juara Liga Super mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada semua Keluarga JDT yang terlibat dengan kelab ini.
Hector juga mengakui sudah memperbaiki kelemahan yang ada dalam pasukan selepas diikat PJ City sebelum liga berehat untuk perlawanan pasukan kebangsaan.
“Terima kasih kepada Keluarga JDT yang terlibat dalam kelab ini. Dari hari pertama saya di sini saya tahu saya datang untuk menang dan kini kami telah berjaya memenangi Piala FA dan kini Piala Liga Super dan saya mahu berterima kasih kepada semua yang bekerja keras dan menyokong saya.
“Ianya adalah perasaan yang hebat terutama buat kelab dan juga buat diri saya. Ia adalah satu pencapaian yang cemerlang tetapi saya tidak mahu terbawa dengan perasaan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menjadi lebih baik.
“Menentang PJ City hanya beberapa hari selepas final Piala FA adalah tugas yang sangat berat buat para pemain kerana bukan mudah bermain di final ditambah persiapan pasukan menjelang perlawanan akhir itu dan pemain kepenatan. Kini selepas berehat dua minggu, kami berjaya mengatasi kelemahan yang ada,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
CONGRATULATIONS JOHOR DARUL TA'ZIM FC — 2022 MALAYSIA SUPER LEAGUE CHAMPIONS
An unprecendented 9th straight league title! A Triple Hattrick!#21since2013#JDTFamily#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/8gkqxJurig
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 1, 2022
Ditanya tentang persiapan menentang Kedah Darul Aman pada Selasa, Hector menjangkakan satu lagi aksi yang sukar kerana sedar kesemua pasukan mahu menewaskan JDT.
Meskipun sudah bergelar juara, Harimau Selatan masih menganggap baki empat lagi perlawanan sebagai penting dan pasukan perlu berada pada tahap terbaik untuk menamatkan saingan liga.
Dia juga akan melakukan penggiliran pemain kerana selepas ini mereka akan berhadapan jadual yang padat ditambah juga dengan saingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung selepas selesai saingan Liga ini.
“Buat JDT semua perlawanan adalah penting dan kami perlu bersedia untuk menghadapi baki empat perlawanan dan penggiliran pemain akan diadakan dengan semua pemain sudah memberikan komitmen yang baik dalam latihan sekaligus menyukarkan kami untuk memilih pemain yang terbaik kerana hanya 11 orang sahaja yang boleh beraksi,” katanya.
Hector turut menjelaskan bahawa Fernando Forestieri mengalami sedikit kecederaan dan diberi rehat dan akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Kedah pada Selasa.